Budak Afghanistan memakai jersi plastik akhirnya mendapat jersi asal dari Messi

murtaza

Seorang kanak-kanak lelaki Afghanistan yang memakai baju ala-ala jersi Lionel Messi, akhirnya berjaya memiliki jersi asal yang dihadiahkan oleh bintang bola sepak Argentina itu sendiri. Memetik laporan CNN, Murtaza Ahmadi yang menjadi popular apabila rakaman gambarnya memakai 'jersi' Argentina buatan beg plastik viral di media sosial, telah menerima dua pasang jersi eksklusif dan bola sepak yang ditandatangani oleh Messi.

Hadiah itu diserahkan oleh pekerja UNICEF kepada ayah Murtaza, Arif Ahmadi. Ia merupakan "saat paling bahagia" bagi Murtaza, kata Arif. Namun satu-satu kekesalan anaknya adalah ketidakmampuan Messi untuk hadir sendiri pada perjumpaan tersebut.

Bagaimanapun, Arif berkata anaknya terlalu seronok memakai jersi tersebut dan hanya bermain bola sepak sejak hadiah-hadiah itu tiba. Murtaza berasal dari wilayah Ghazni dan dikatakan "peminat Messi yang paling tegar" Pada Januari lalu, Murtaza menjadi popular dalam sekelip mata apabila rakaman gambarnya viral di media sosial.

Dilaporkan 'jersi' plastik yang dipakai Murtaza sebelum ini dibuat oleh abangnya, Homayoun, yang juga bertanggungjawab memuat naik gambar adiknya di internet.

0 comment... add one now