Chelsea sudah pun mendahului kedudukan jaringan ketika kebanyakan penyokong masih tercari-cari tempat duduk mereka dan gol tersebut dilakukan di luar kawasan kotak selepas mendapat hantaran daripada Eden Hazard. Jaringan pertama itu membangkitkan semangat dalam kalangan pemain Chelsea yang menambah gol kedua menerusi Diego Costa beberapa saat sebelum separuh masa pertama berakhir manakala jaringan tunggal pasukan tuan rumah hadir menerusi Nathan Redmond pada minit ke-68.

Jaringan semalam adalah yang kelapan oleh Costa dalam 10 perlawanan liga terakhirnya dan tiga mata yang diraih The Blues dalam perlawanan tersebut membolehkan kelab itu mengurangkan perbezaan mata de­ngan pasukan di anak tangga kelima Manchester United.
Selepas bermula hambar musim ini, kini Chelsea meletakkan sasaran untuk meraih kelayakan dalam aksi Eropah yang ditawarkan kepada pasukan yang menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris di kedudukan kelima.

“Ini bukan taraf Chelsea untuk merasa gembira kerana dapat mengelak daripada zon penyingkiran. “Kami perlu meletakkan sasaran baharu dengan impian untuk Chelsea melangkah ke persaingan Eropah. “Kami mempunyai jadual yang padat dan skuad ini bukannya besar. Jika semua pemain bersedia kami perlu melangkah ke hadapan iaitu ke persaingan Eropah,” kata pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink.

Chelsea kini berada di anak tangga kelapan liga dengan 39 mata selepas 28 perlawanan dan Hiddink mengakui tidak dapat merasakan elemen kritikal dalam perlawanan tersebut selepas gol kedua daripada Costa. “Saya berpendapat kami agak mengambil ringan ketika melakukan penyudah pada separuh masa pertama.

“Kami telah bermula dengan baik menerusi jaringan cantik daripada Kenedy namun selepas itu kami mempunyai beberapa pilihan untuk meledak gol kedua.
“Saya berpuas hati dengan keputusan namun saya lebih suka jika dapat melihat aksi yang lebih kritikal biarpun memerlukan masa untuk mematikan perlawanan,” kata Hiddink. – REUTERS