Header Ads

Komen Subkhiddin Adakah Gol Zaquan Ofsaid, Ini Perjelasannya!

Adakah jaringan Zaquan Adha ofsaid atau pun tidak? Jaringan penyamaan Perak yang dibatalkan oleh pengadil perlawanan susulan penyerang The Bos Gaurus, Zaquan Adha Abd Radzak dikatakan dalam kedudukan ofsaid. Menurut pandangan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh sebenarnya jaringan gol itu sah dan patut diberikan pada pasukan itu.

Komen Subkhiddin Adakah Gol Zaquan Ofsaid, Ini Perjelasannya!

Gol itu dijaringkan ketika Perak ketinggalan 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin. Penjelasan itu diberikan oleh Subkhiddin Mohd Salleh yang mengakui pengadil serta pembantu pengadil kedua pada perlawanan itu sudah tersilap tafsir mengenai jaringan tersebut.


Keputusan itu dibuat selepas mereka sudah berusaha untuk mendapatkan keputusan yang tepat menerusi perbincangan mengenai insiden terbabit. Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyifatkan kesilapan pengadil dan pembantu pengadil kedua itu sebagai satu keputusan yang sungguh berat untuk diterima kerana ia membabitkan perlawanan berskala besar dan sepatutnya tidak melakukan kesalahan sebegini.

"Pemain JDT, (S Kunanlan) mendapat tekanan daripada perasaannya sendiri untuk menghalang daripada bola terlepas ke pihak lawan iaitu pemain Perak (Zaquan), sedangkan Zaquan hanya bergerak tanpa menghalang sebarang perbuatan Kunanlan untuk memainkan bola.

"Pembantu pengadil tersalah tafsir apabila dia melihat Zaquan berada pada posisi ofsaid dan hampir dengan Kunanlan.

"Begitulah realitinya pandangan yang bakal dilihat oleh pembantu pengadil dan berbeza dengan pandangan pengadil atau pembantu pengadil yang lain.

"Dalam situasi itu, gol dijaringkan disebabkan kelemahan Kunanlan sendiri. Jadi, jaringan itu seharusnya dibenarkan dan permainan perlu diteruskan dengan sepak mula oleh pasukan JDT.

"Bagaimanapun, sukar untuk melihat situasi secara realiti di atas padang jika hendak dibandingkan dengan penilaian yang begitu mudah untuk ditafsir menerusi rakaman video saja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi, hantaran lintang yang dibuat Gilmar tiba di depan pintu gol JDT dan Kunanlan dilihat menampan masuk hantaran terbabit ke gawang sendiri untuk gol penyamaan pelawat.

Namun, jaringan itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin selepas pembantu pengadil kedua, Nojey Naking menyatakan Zaquan yang berada dalam kedudukan ofsaid menyentuh hantaran itu untuk menyumbat gol buat Perak.

Jika jaringan terbabit diberikan kepada Perak, kedudukan berubah menjadi 1-1 dan pastinya permainan menjadi bertambah rancak selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 secara agregat, dan masing-masing memiliki kelebihan satu gol di tempat lawan.

Selepas keputusan memihak kepada JDT, skuad Ulisses Morais itu tidak lagi memandang ke belakang dan berjaya menyumbat dua lagi gol menerusi Gonzalo Cabrera yang meledak jaringan kedua peribadinya.

Gabriel Guerra juga mencetak nama selaku penjaring gol, sekaligus menyaksikan JDT melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia menerusi agregat 4-1 dan bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan, Kedah pada 4 November ini.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.